Selasa, 15 Mac 2016

Apabila Saya Tidak Berguru Dengan Mualaf


Apabila saya tidak pernah belajar dari mualaf.
Adakah kerana saya dilahirkan sebagai seorang muslim?

Apabila saya menolak mualaf untuk menjadi guru menunjuk ajar,
Adakah kerana fitrah yang terasuh dari ajaran emak dan almarhum abah yang sedar?


Apabila saya tidak pernah belajar akidah dengan mualaf,
Mahu diusirkah kesombongan yang tidak wujud?

Apabila saya tidak pernah belajar akidah dengan mualaf,
Dituntutkah untuk berbohong bagi menyepakati perkara yang tidak wujud?


Apabila saya tidak belajar dari mualaf
Wibawa siapa yang perlu digugah?

Apabila guru-guru saya bukan mualaf
Tenang siapa yang mahu disanggah?


Usah disangkakan ikan lais-lais tidak menyengat!


Apabila saya tidak pernah berguru dengan mualaf
Syahadah saya terbatalkah oleh rububiyyah  dan uluhiyyah
Dengan Asma dan Sifat yang pengakuannya dibuat di alam janin.


Apabila mualaf bukan muallimah saya
Terbatalkah pengakuan pentauhidan, pengesaan dan penyaksian lafaz syahadah itu?
Pada saat roh masih suci, bersih tanpa nafsu hawa dan syahwat kerana saya tidak belajar agama dari mualaf,
Lantaran rahim ibu tiada guru selain malaikat.


Saya tidak berikrar, tidak melafaz kalimah syahadah dengan nafsu dan syahwat!

Di rahim emak, perjanjian diperakui
Di rahim emak, malaikat meniup roh
Di rahim emak, saya beraku janji tidak sekali-kali akan menyekutukan Rabb!
Di rahim emak, saya memberi saksi Muhammad bin Abdullah sallallah hu alaihiwassalam adalah pesuruh Allah Ta’ala.
Di rahim emak, saya dijelmakan oleh lafaz ijab dan qabul cinta abah dan emak
Di rahim emak, saya tidak mengucap syahadah dengan niat-niat yang lain 
Melainkan terpilih untuk mendapat nikmat islam.


Apabila saya tidak belajar akidah dengan mualaf

Tiada sesiapa yang wajar berjauh hati

Oleh qadar Allah Ta'ala untuk dilahirkan sebagai muslimah oleh emak dan almarhum abah yang mengucap syahadah.



Tiada ulasan: