Memaparkan catatan dengan label Marhaban Ramadhan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Marhaban Ramadhan. Papar semua catatan

Jumaat, 12 Jun 2015

Bersuaralah Demi Rindu Al-Qadar

Alhamdulillah

Allah hu Akbar

Masih KasihMu melembarkan bentangan cinta untuk Al-Qadar dinikmati

Alhamdulillah 

Allah hu Akbar

Nafas pinjaman Mu masih mendenyutkan jantung ini

Meski sesekali sering sakit dan pedih meresapi sanubari

Namun firman Mu tidak mampu membuatkan ku berpaling lagi

"Katakanlah Muhammad (sallallah hu alaihiwassalam) :
Sesungguhnya apa yang diwahyukan kepadaku ialah bahawa Tuhanmu adalah Tuhan Yang Esa, maka apakah kamu telah berserah diri?"


Allah hu Akbar 

Alhamdulillah

Bulan Syakban akan pergi kerana memaklumi bulan Ramadhan yang dirindu

Antaranya dengan bulan Rejab dan bulan Ramadhan tiada saling iri kerana cemburu

Mana mungkin daku menjadi bisu

Bila firman Mu menenangkan jiwaku

"Maka jika mereka berpaling, maka katakanlah Muhammad (sallallah hu alaihiwassalam)
Aku telah menyampaikan kepadamu (ajaran) yang sama dan aku tidak tahu apakah yang diancamkan kepadamu itu sudah dekat atau masih jauh."


Merenung pada usia bonda yang berbeza hitung tiga puluh dua tahun dengan usiaku

Ia membuang resah ia melontar jauh gelisah ia mengusir rawan di qalbu

Bila bonda masih tersenyum gagah berdiri tanpa dibantu

Apakah daku wajar menjadi bisu membeku?




Rabu, 2 Julai 2014

Ramadhan Tanpa Bulan

Getaran denyutan Ramadhan menghalusi nurani ini.

Degupan nur insan pada rangkaian La illa ha illAllah
Sudah memenuhi langit pertama dunia
Syakban tersenyum
Kiranya Ramadhan masih malu untuk mengibar rahmat Allah
Maha suci Allah yang telah membuatkan muslimin beroleh bahagia
Kemanisan iman  masih tidak terubah lazatnya sejak kefardhuannya tiba.

La illa ha illallah Muhammad Rasulullah sallallah hu alaihiwassalam.

Syakban sudah lama pergi
Sudah empat hari daku menanti
Rembulan masih bersembunyi
Mentari yang semakin berseri
Dan zikir-zikir bisu terus bernyanyi.

Melihat kemiskinankah dikau Ramadhan?
Mengerti kesengsaraankah dikau Ramadhan?
Sehingga masih dikau memberkati alam dalam persembunyian.

Dukakah dikau wahai Ramadhan bila Zabur, Taurat, dan Injil masih dibaca
Tatkala ianya sudah tersempurna dari tadarrus Al-Quran.

Masih melihat zaman dahulu purbakah dikau Ramadhan?

Pada saat Nabi Daud mengalunkan tasbih bukannya tarian dan irama musik?

Pada sejarah lalu Nabi Daud yang bertasbih bertemankan beburung yang berterbangan diiringi oleh gunung ganang pada waktu pagi dan petang?

Atau dikau bersembunyi kerana tidak tahan dengan hingar bingar kebisingan di gelanggang yang sering diaturkan oleh anak cucu cicit dari nasabnya pada setiap tibanya Ramadhan?

Ataukah dikau menanti keterangan anak cucu Nabi Daud tentang solat dan puasa yang tidak diketahui adalah ibadat nenek moyang mereka yang terdahulu?

Pada kala tasbih-tasbih mu itu masih dilafazkan oleh ummat Nabi Muhammad sallallah hu alaihiwassalam ketika saat mereka rukuk dan bersujud.

Ataukah dikau menangisi penafian puasa di bulan Ramadhan oleh nasab keluarga dari ummat Nabi Daud alaihisalam yang menerima Zabur pada bulan Ramadhanmu?

Juga penafian syiar islam dari ibadat solat?

Tatkala nasab cucu cicit keturunan Nabi Daud itu masih mewarisi kemahiran memfungsikan besi.

Memahami jenis tanah yang menjadi baja untuk melembutkan besi itu sehingga mengkaedahkan penyusunan penggunaan tanah yang tidak mewujudkan pelarian…walaupun disusun pembangunan?

Di manakah dikau wahai rembulan?

Tatkal sering kali dikau bercahaya mencerahkan angkasa

Dengan berbagai rupa dan wajah saat permulaan, pertengahan dan genab purnama bercahaya…

Sudah empat hari ku nantimu
Bukankah para setan dan jin-jin telah diusir ke laut dalam?

Adakah kerana dikau masih mencari ketenangan saat haiwan dilenakan, beburung terhenti terbangnya pada saat Nabi Daud membaca Zaburnya?

Atau dikau berasa pedih pada pasangan si mata-mata biru atau hijau  yang tidak rela menjadi ummat dari nabi berbangsa arab?

Tidak pula ku ketahui jika dikau menyinar di angkasa yang jauh dari angkasa jazirah negara yang kecil ini

Hingga membuatkan ku ternanti-nanti.

Atau adakah mata ku dipermainkan seperti mana saat ku terlihat mentari muncul dari sebelah barat oleh setan dan jin penyihir zaman???

Di manakah dikau wahai rembulan yang meminjam cahaya suria?
Rahsia apakah yang dikau simpan setelah dikau dan mentari bergerhana berkali-kali?

Adakah dikau meratapi tentang penasaban wanita ahli kitab pada ketika Taurah yang asli telah dibakar oleh  pemerintah Babylon manakala Injil telah melalui pindaan penambahan dan pemadaman isi kandungannya?


Sifat baharu bagi kitab-kitab itukah atau  hakikat Al-Quran itu  yang qadim sejak azali membuatkan ku kehilangan sinar mu wahai rembulan?

Jumaat, 26 Julai 2013

Cemburu Ramadhan

Anakku Siti Hanan perlahan-lahan melepaskan rasa dengan luahan hati 'sukar untuk melihat lelaki yang boleh disamakan dengan cerita-cerita emak tentang arwah Atuk MohdAli' yakni atuknya di sebelah saya. 


Katanya lagi dia tidak faham mengapa wanita yang melebihi usia tiga puluh tahun memilih untuk menjadi isteri kepada lelaki yang sudah sedia mempunyai isteri. Malah dia juga tidak memahami bagaimanakah lelaki yang sudah mempunyai isteri yang telah memberikannya anak-anak lelaki dan anak perempuan mudah juga hilang kerasionalan untuk menggalas tanggungjawab yang akan dimulainya semula sewaktu bernikah kali pertama dahulu dengan menambah isteri kedua.


Saya sukar untuk memberikan jawapan yang boleh memuaskan hati satu-satunya anak dara saya ini.


'Jika tidak berkahwin tidak mengapakan emak.'


Bagai disambar halilintar saya mengingini hujan turun dengan lebat ke dalam jiwa nurani ini.


'Akak cemburu kerana apakah yang tidak cukup lagi buat lelaki-lelaki setelah Allah menyediakan lagi bidadari-bidadari di syurga untuk menjadi isteri mereka setelah mereka mempunyai lebih isteri semasa hidup di dunia. Apakah mereka tidak melihat hak yang tidak diberikan kepada isteri mereka yang hanya akan mempunyai seorang suami sahaja dan lelaki itu adalah lelaki yang sama yang menyakitinya semasa hidup di dunia!'


Sejauh manakah perkahwinan itu sebenarnya telah memelihara sebahagian dari agama muslimin pesanan iman Kekasih Allah sallallah hu alaihiwasalam ditaakul di dalam diam setelah mendengar bicara nurani hati anak saya yang sangat mendalam sentuhannya.


Dia bukan membantah tidak pula dia memfitnah apabila mengujarkan soalan begitu kepada saya.


Ukhuwwah Ramadhan ini memadrasahkan minda saya zahir dan batin setelah menyepikan seketika aktiviti menulis hal-hal berkaitan dengan bacaan-bacaan saya.


Aruah abah saya MohdAli bin Ahmad sangat pengasih dan bersifat lemah lembut walaupun dia seorang angota polis yang sangat besar susuk tubuh badannya, seorang lelaki yang sangat-sangat menyayangi isteri dan enam orang anak perempuannya. Bayangkan mempunyai enam orang anak perempuan yang tidak memberikan apa-apa kelebihan kepadanya malah mungkin menyukarkan arwah abah saya kerana kami semua ketika itu kesemuanya masih kecil lagi dan sangat bergantung kepada kegagahannya untuk mendapatkan bantuan.


Seingat saya wajah aruah abah sering melukiskan senyuman yang manis. Berbicara dengan lembut walaupun ketika di dalam keletihan. Masih mahu membawa saya dan saudara kembar bersiar-siar menaiki lambrettanya walau pun kesuntukan masa untuk pergi ke tempat kerja. Sering menemani emak di dapur walau hanya sekadar berbual pada waktu emak bersendirian dengan urusan rumahtangganya yang hanya selesai pada waktu hari sudah jauh malam. Masih segar di ingatan saya ketika melihat emak sering menggosokkan belakang aruah abah apabila tangannya tidak mampu mencapainya ketika mandi. Dengan wang gaji yang kecil aruah abah mampu menyewa rumah yang sederhana besarnya untuk kediaman kami, membeli perkakas perabut yang diperlukan lengkap serba satu.


Paling saya ingati telatah kami yang tidak menyukai tabiat aruah abah yang sangat menghormati lelaki dan wanita berusia tua yang mungkin dilihatnya sebagai ibubapanya sehingga sering membawa pulang penggali kubur ke rumah kami. Lelaki yang sering memakai pakaian buruk dan berbau busuk itu tidak kami benarkan abah memabawanya naik ke atas rumah. Bertahun-tahun lelaki tua inilah yang menjaga rapi pusara abah sehingga sentiasa bersih tanpa kami pernah mengucapkan terima kasih.


Setelah dewasa barulah saya memahami tabiat sikap sifat dan perangai saya sangat dibina oleh karektor aruah abah dan luahan emosi yang banyak disampaikan di dalam tulisan juga turut dicernakan oleh tabiat aruah abah.

Saya menemui catatan aruah abah yang menunjukkan marahnya setelah permohonan cutinya bagi menziarahi ibunya yang sedang sakit ditolak oleh Tuan OCPD yang merupakan Ketua di Balai Polis di Alor Star ketika itu. Pegawai berbangsa cina itu dimakinya didalam bentuk tulisan setelah permohonan cuti kali keduanya juga ditolak setelah berita kematian ibunya aruah Shamsiah binti Jangge diterima.


Proses pembelajaran tanpa formal ini secara tersendiri telah mengasuh cara saya beremosi. Menguruskan emosi dengan hak yang dipulihkan oleh keimanan saya kepada islam menjadikan ianya banyak menyederhanakan sikap saya. Lingkaran kehidupan saya adalah dibina untuk membantah dan memprotes dengan tahap paling minima yang mampu saya lakukan.


Aruah abah saya seorang lelaki yang miskin ketika itu. Mungkin kerana kemiskinannya menjadikan arwah abah tidak menghisap rokok. Kemiskinannya menjadikan aruah abah saya meningalkan kenangan kepada kami adik beradik hanya dengan kasih sayangnya sahaja,tidak ada apa-apa yang ditinggalkannya kepada kami kecuali sebuah rumah yang tidak pernah diketahuinya telah berjaya dimilikinya yang menjadikan isteri dan anak-anak perempuannya tidak hidup melarat meminta belas bantuan dari kaum kerabat atau handai dan taulan setelah kehilangan sumber pencarian rezeki.



'Jika kakak tidak mahu berkahwin jangan pula terlintas untuk menjadi lesbian!'

Jelas dan tegas saya nyatakan kepadanya. 



'Perkahwinan boleh menjadi wajib. boleh menjadi sunat, boleh menjadi harus, boleh menjadi makruh malah boleh menjadi haram. Jangan hanya fikir tentang hukum wajib dan sunat sahaja.'


Apakah yang difahami oleh lelaki-lelaki dan perempuan yang berniat untuk berkahwin terhadap pesanan iman Rasulullah sallallah hu alaihiwasalam bahawa sesiapa yang berkahwin bermakna dia telah memelihara sebahagian dari agamanya'.


Apakah wajar poligami dikomersialkan untuk diglamourkan ibadah?


Sengkek sangatkah lelaki-lelaki dan perempuan-perempuan muslim yang berpoligami dan mengingini pula ia menjadi seri untuk dipopularkan ibadah yang tidak menjadi pilihan terbaik untuk semua lelaki mahupun wanita yang beriman dengan agamanya?



'Emak juga andai boleh menjadi kanak-kanak semula tidak memilih untuk berumah tangga.' 


Saya mengusik hati gadis sunti yang sering perlu tabah untuk melayaninya agar tenteram dan tidak berasa tertekan dengan perkara yang masih belum banyak diperolehi ilmunya.


Sesungguhnya saya amat bersyukur apabila anak dara saya sangat mengambil berat mengenai diri saya sebagaimana saudara-saudara lelakinya yang sering merahsiakan keperihatinan mereka terhadap kedamaian serta ketenangan yang saya inginkan.