Apabila saya tidak pernah belajar
dari mualaf.
Adakah kerana saya dilahirkan sebagai
seorang muslim?
Apabila saya menolak mualaf untuk
menjadi guru menunjuk ajar,
Adakah kerana fitrah yang terasuh
dari ajaran emak dan almarhum abah yang sedar?
Apabila saya tidak pernah belajar
akidah dengan mualaf,
Mahu diusirkah kesombongan yang tidak
wujud?
Apabila saya tidak pernah belajar
akidah dengan mualaf,
Dituntutkah untuk berbohong bagi
menyepakati perkara yang tidak wujud?
Apabila saya tidak belajar dari
mualaf
Wibawa siapa yang perlu digugah?
Apabila guru-guru saya bukan mualaf
Tenang siapa yang mahu disanggah?
Usah disangkakan ikan lais-lais tidak
menyengat!
Apabila saya tidak pernah berguru
dengan mualaf
Syahadah saya terbatalkah oleh
rububiyyah dan uluhiyyah
Dengan Asma dan Sifat yang
pengakuannya dibuat di alam janin.
Apabila mualaf bukan muallimah saya
Terbatalkah pengakuan pentauhidan, pengesaan dan penyaksian lafaz syahadah itu?
Pada saat roh masih suci, bersih tanpa
nafsu hawa dan syahwat kerana saya tidak belajar agama dari mualaf,
Lantaran rahim ibu tiada guru selain malaikat.
Saya tidak berikrar, tidak melafaz
kalimah syahadah dengan nafsu dan syahwat!
Di rahim emak, perjanjian diperakui
Di rahim emak, malaikat meniup roh
Di rahim emak, saya beraku janji
tidak sekali-kali akan menyekutukan Rabb!
Di rahim emak, saya memberi saksi
Muhammad bin Abdullah sallallah hu alaihiwassalam adalah pesuruh Allah Ta’ala.
Di rahim emak, saya dijelmakan oleh
lafaz ijab dan qabul cinta abah dan emak
Di rahim emak, saya tidak mengucap syahadah
dengan niat-niat yang lain
Melainkan terpilih untuk mendapat nikmat islam.
Apabila saya tidak belajar akidah
dengan mualaf
Tiada sesiapa yang wajar berjauh hati
Oleh qadar Allah Ta'ala untuk dilahirkan sebagai muslimah oleh emak dan almarhum abah yang mengucap syahadah.