Jumaat, 26 Julai 2013

Cemburu Ramadhan

Anakku Siti Hanan perlahan-lahan melepaskan rasa dengan luahan hati 'sukar untuk melihat lelaki yang boleh disamakan dengan cerita-cerita emak tentang arwah Atuk MohdAli' yakni atuknya di sebelah saya. 


Katanya lagi dia tidak faham mengapa wanita yang melebihi usia tiga puluh tahun memilih untuk menjadi isteri kepada lelaki yang sudah sedia mempunyai isteri. Malah dia juga tidak memahami bagaimanakah lelaki yang sudah mempunyai isteri yang telah memberikannya anak-anak lelaki dan anak perempuan mudah juga hilang kerasionalan untuk menggalas tanggungjawab yang akan dimulainya semula sewaktu bernikah kali pertama dahulu dengan menambah isteri kedua.


Saya sukar untuk memberikan jawapan yang boleh memuaskan hati satu-satunya anak dara saya ini.


'Jika tidak berkahwin tidak mengapakan emak.'


Bagai disambar halilintar saya mengingini hujan turun dengan lebat ke dalam jiwa nurani ini.


'Akak cemburu kerana apakah yang tidak cukup lagi buat lelaki-lelaki setelah Allah menyediakan lagi bidadari-bidadari di syurga untuk menjadi isteri mereka setelah mereka mempunyai lebih isteri semasa hidup di dunia. Apakah mereka tidak melihat hak yang tidak diberikan kepada isteri mereka yang hanya akan mempunyai seorang suami sahaja dan lelaki itu adalah lelaki yang sama yang menyakitinya semasa hidup di dunia!'


Sejauh manakah perkahwinan itu sebenarnya telah memelihara sebahagian dari agama muslimin pesanan iman Kekasih Allah sallallah hu alaihiwasalam ditaakul di dalam diam setelah mendengar bicara nurani hati anak saya yang sangat mendalam sentuhannya.


Dia bukan membantah tidak pula dia memfitnah apabila mengujarkan soalan begitu kepada saya.


Ukhuwwah Ramadhan ini memadrasahkan minda saya zahir dan batin setelah menyepikan seketika aktiviti menulis hal-hal berkaitan dengan bacaan-bacaan saya.


Aruah abah saya MohdAli bin Ahmad sangat pengasih dan bersifat lemah lembut walaupun dia seorang angota polis yang sangat besar susuk tubuh badannya, seorang lelaki yang sangat-sangat menyayangi isteri dan enam orang anak perempuannya. Bayangkan mempunyai enam orang anak perempuan yang tidak memberikan apa-apa kelebihan kepadanya malah mungkin menyukarkan arwah abah saya kerana kami semua ketika itu kesemuanya masih kecil lagi dan sangat bergantung kepada kegagahannya untuk mendapatkan bantuan.


Seingat saya wajah aruah abah sering melukiskan senyuman yang manis. Berbicara dengan lembut walaupun ketika di dalam keletihan. Masih mahu membawa saya dan saudara kembar bersiar-siar menaiki lambrettanya walau pun kesuntukan masa untuk pergi ke tempat kerja. Sering menemani emak di dapur walau hanya sekadar berbual pada waktu emak bersendirian dengan urusan rumahtangganya yang hanya selesai pada waktu hari sudah jauh malam. Masih segar di ingatan saya ketika melihat emak sering menggosokkan belakang aruah abah apabila tangannya tidak mampu mencapainya ketika mandi. Dengan wang gaji yang kecil aruah abah mampu menyewa rumah yang sederhana besarnya untuk kediaman kami, membeli perkakas perabut yang diperlukan lengkap serba satu.


Paling saya ingati telatah kami yang tidak menyukai tabiat aruah abah yang sangat menghormati lelaki dan wanita berusia tua yang mungkin dilihatnya sebagai ibubapanya sehingga sering membawa pulang penggali kubur ke rumah kami. Lelaki yang sering memakai pakaian buruk dan berbau busuk itu tidak kami benarkan abah memabawanya naik ke atas rumah. Bertahun-tahun lelaki tua inilah yang menjaga rapi pusara abah sehingga sentiasa bersih tanpa kami pernah mengucapkan terima kasih.


Setelah dewasa barulah saya memahami tabiat sikap sifat dan perangai saya sangat dibina oleh karektor aruah abah dan luahan emosi yang banyak disampaikan di dalam tulisan juga turut dicernakan oleh tabiat aruah abah.

Saya menemui catatan aruah abah yang menunjukkan marahnya setelah permohonan cutinya bagi menziarahi ibunya yang sedang sakit ditolak oleh Tuan OCPD yang merupakan Ketua di Balai Polis di Alor Star ketika itu. Pegawai berbangsa cina itu dimakinya didalam bentuk tulisan setelah permohonan cuti kali keduanya juga ditolak setelah berita kematian ibunya aruah Shamsiah binti Jangge diterima.


Proses pembelajaran tanpa formal ini secara tersendiri telah mengasuh cara saya beremosi. Menguruskan emosi dengan hak yang dipulihkan oleh keimanan saya kepada islam menjadikan ianya banyak menyederhanakan sikap saya. Lingkaran kehidupan saya adalah dibina untuk membantah dan memprotes dengan tahap paling minima yang mampu saya lakukan.


Aruah abah saya seorang lelaki yang miskin ketika itu. Mungkin kerana kemiskinannya menjadikan arwah abah tidak menghisap rokok. Kemiskinannya menjadikan aruah abah saya meningalkan kenangan kepada kami adik beradik hanya dengan kasih sayangnya sahaja,tidak ada apa-apa yang ditinggalkannya kepada kami kecuali sebuah rumah yang tidak pernah diketahuinya telah berjaya dimilikinya yang menjadikan isteri dan anak-anak perempuannya tidak hidup melarat meminta belas bantuan dari kaum kerabat atau handai dan taulan setelah kehilangan sumber pencarian rezeki.



'Jika kakak tidak mahu berkahwin jangan pula terlintas untuk menjadi lesbian!'

Jelas dan tegas saya nyatakan kepadanya. 



'Perkahwinan boleh menjadi wajib. boleh menjadi sunat, boleh menjadi harus, boleh menjadi makruh malah boleh menjadi haram. Jangan hanya fikir tentang hukum wajib dan sunat sahaja.'


Apakah yang difahami oleh lelaki-lelaki dan perempuan yang berniat untuk berkahwin terhadap pesanan iman Rasulullah sallallah hu alaihiwasalam bahawa sesiapa yang berkahwin bermakna dia telah memelihara sebahagian dari agamanya'.


Apakah wajar poligami dikomersialkan untuk diglamourkan ibadah?


Sengkek sangatkah lelaki-lelaki dan perempuan-perempuan muslim yang berpoligami dan mengingini pula ia menjadi seri untuk dipopularkan ibadah yang tidak menjadi pilihan terbaik untuk semua lelaki mahupun wanita yang beriman dengan agamanya?



'Emak juga andai boleh menjadi kanak-kanak semula tidak memilih untuk berumah tangga.' 


Saya mengusik hati gadis sunti yang sering perlu tabah untuk melayaninya agar tenteram dan tidak berasa tertekan dengan perkara yang masih belum banyak diperolehi ilmunya.


Sesungguhnya saya amat bersyukur apabila anak dara saya sangat mengambil berat mengenai diri saya sebagaimana saudara-saudara lelakinya yang sering merahsiakan keperihatinan mereka terhadap kedamaian serta ketenangan yang saya inginkan.